Sunday, April 25, 2010

Untung besar pelaburan ikan Kelisa

.

Pengenalan

.

Ikan Kelisa yang juga dikenali sebagai Arowana atau nama saintifiknya Scleropages formousus adalah sejenis ikan hiasan yang sangat popular dan mahal harganya.

.

Di negara ini, penternakan kelisa turut dijalankan secara komersil untuk tujuan eksport ke pasaran antarabangsa. Secara semulajadi, kelisa membiak sekali dalam setahun iaitu pada jun hingga ogos di habitat asalnya.

.

Ikan Kelisa dikepung dengan jaring untuk pemeriksaan anak ikan..

Telur ikan Kelisa dikeluarkan dari dalam mulut ikan jantan

Anak ikan kelisa dijaga dengan rapi sebelum ditempah pelabur ikan hiasan

.

Sumber air bersih dipam dan kemudian disalur ke kolam ternakan

.

Ikan kelisa matang boleh membiak apabila mencapai umur dua setengah tahun atau tiga setengah tahun dengan berat sekitar satu hingga dua kilogram. Semasa proses mengawan, induk jantan dan betina akan berpasangan dan beriringan beberapa minggu. Namun, proses mengawan hanya berlaku apabila keadaan sesuai.

.

Dalam keadaan ini, induk jantan akan melengkungkan badannya dan menghimpit badan induk betina. Di peringkat ini, telur induk betina akan keluar dan disenyawakan induk jantan. Telur akan dieram induk jantan selama dua bulan sehingga anak boleh berenang bebas dan bersaiz kira-kira 6-7 sentimeter. Kelisa boleh membiak dalam kurungan secara semula jadi tanpa memerlukan suntikan hormone aruhan pembiakan.

.

Musim pembiakan dalam kurungan tidak ketara kerana kurang dipengaruhi persekitaran semula jadi. Namun, aspek pemakanan perlu perhatian sebaik anak ikan mulai berenang bersendirian sekalipun masih terdapat sedikit ‘kuning telur’ di bawah perutnya.

.

Bagaimanapun, sekiranya lewat memberi makanan akan menyebabkan anak ikan mencederakan sesama sendiri. Asuhan anak ikan perlu selama dua hingga tiga bulan sehingga mencapai saiz 15-20 sentimeter sebelum dipasarkan. Bagaimanapun, eraman telur oleh induk jantan secara kaedah pembiakan semulajadi dalam kolam akan mengurangkan kadar hidup anak kelisa.

.

Galeri rawatan ikan kelisa yang menghadapi masalah kesihatan

.

Oleh itu, kaedah paling baik menjamin hidup anak ikan ialah menerusi kaedah pengeraman ‘in vitro’. Melalui kaedah ini, telur ikan yang dieram induk jantan dan masih mempunyai kuning telur dikeluarkan secara manual dan diasuh dalam akuarium berukuran 90 x 45 x 45 sentimeter.

.

Pengudaraan diberikan secukupnya pada suhu 27 hingga 28 darjah celcius dengan memasang pemanas elektrik. Kedalaman air kira-kira 20 sentimeter. Melalui kaedah ini, kadar peratusan hidup anak ikan adalah tinggi berbanding kaedah eraman semula jadi. Kelisa sesuai membiak dalam iklim khatulistiwa pada suhu 26 hingga 33 darjah celsius.

.

KAEDAH TERNAK DALAM KOLAM

.

Untuk pembiakan dalam kolam, jenis tanah liat berpasir dengan kandungan tanah liat 55 peratus hingga 60 peratus adalah amat sesuai. Bekalan air dari sumber semulajadi sama ada air bukit, sungai, empangan dan tasik. Kualiti air pada suhu 29 hingga 31 darjah Celcius pH: 6.5-8.5

Oksigen terlarut: 5ppm

Alkaliti: 60-100 ppm CaCO3

Jumlah keliatan: 100ppm

Bacaan piring Secchi: 30 sentimeter

Ammonia: 1ppm.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian dalam aktiviti penternakan ialah pembinaan dan penyediaan kolam.

.

PEMILIHAN TAPAK

.

Tapak yang sesuai adalah kawasan tidak mengalami banjir, jauh dari kawasan industry dan punca pencemaran, tidak ada persaingan aktiviti pertanian dan perindustrian serta mempunyai prasarana yang lengkap.

.

Bentuk kolam paling ideal adalah segi empat dengan nisbah kecenderungan ban 2:1. Untuk permudahkan pengurusan, keluasan kolam yang sesuai adalah antara 0.2-0.4 hektar dengan kedalaman air 0.75-1.2 meter. Dasar kolam perlu rata dan cerun kea rah saluran air keluar.

.

Begitupun, kolam takungan antara 20 hingga 30 peratus dari jumlah keseluruhan kolam digalakkan bagi menjamin punca bekalan air yang mencukupi dan proses rawatan air dilakukan jika perlu. Pengapuran kolam yang dibina perlu menepati parameter kualiti tanah dan air serta sesuai bagi aktiviti ternakan.

.

PENGAPURAN

Pengapuran diperlukan jika keadaan tanah berasid dan jenis-jenis kapur yang sesuai ialah kapur pertanian, kapur abu sejuk, kapur abu panas dan dolomite. Baja organan dan bukan organan sesuai digunakn dan kepekatan nitrogen dan fosforus yang sesuai ialah 0.95ppm dan 0.15ppm.

.

Untuk tujuan pembiakan, induk jantan dan induk betina diternak dalam kolam yang disediakan terlebih dahulu dengan aspek sumber air semulajadi diberi perhatian yang utama. Kelisa jarang dijangkiti penyakit tetapi pemerhatian perlu supaya induk sentiasa sihat.

.

NISBAH INDUK

Dengan mengambil contoh kaedah ternakan kolam tanah di Bukit Merah, Taiping, perak, sebanyak 16 ekor induk berumur dua tahun setengah dipelihara dengan nisbah 10:6.

.

PEMAKANAN

.

Makanan perlu diberi kepada induk Kelisa sebanyak dua kali sehari iaitu sebelah pagi dan petang dengan jenis makanan rumusan terapung yang mengandungi protein sebanyak 35 peratus atau makanan jenis hidup seperti cengkerik, anak ikan dan udang hidup.

.

Anak ikan yang sudah boleh berenang bebas dalam akuarium pula perlu diberi makan anak-anak ikan seperti Gambusia affinis.

.

PUNGUT HASIL

.

Pemerhatian berkala ke atas Kelisa dewasa atau induk perlu dilakukan dengan menumpukan kepada proses Kelisa mengawan dan dilakukan secara menangkap menggunakan pukat. Telur yang sedang dieram Kelisa jantan perlu dikeluarkan untuk eraman selanjutnya menggunakan kaedah in-vitro yang dijalankan dalam tangki akuarium.

.

Selain itu, anak ikan perlu ditangkap apabila mula dilihat berenang bebas dan disimpan dalam tangki akuarium dengan saizbersesuaian. Bagi kaedah in-vitro pula, anak ikan yang berenang bebas tanpa kuning telur, perlu diasingkan bagi mengelakkan dimakan ikan lain dan diberi makanan hidup sehingga mencapai saiz 5-7 cm sebelum dipasarkan.

.

PASARAN

Harga ikan meningkat berdasarkan saiz. Namun, di pasaran tempatan, harga ika berbeza mengikut lokasi. Secara purata, ikan berkualiti dijual antara RM250 hingga RM900 pada saiz 6-9 inci. Bagi pasaran eksport, syarikat atau individu perlu berdaftar dan memiliki Lesen Import dan Eksport SKKP Pin.91 yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan ikan Malaysia (LKIM) dan juga permit CITES.

.

Kajian LKIM terhadap projek ini mendapati kos memulakan ternakan Kelisa di atas tanah o.25 hektar dianggarkan RM139,392 dengan kelengkapan paling minimum. Pulangan atau hasil pula hanya diperolehi pada tahun keempat atau kelima. Ini bergantung kepada tahap baka induk yang baik, pemakanan dan pengurusan.

.

Secara umumnya, permintaan serta harganya masih tinggi terutama bagi pasaran antarabangsa. Begitupun, buat masa ini tidak ramai mampu menceburi bidang pengeluaran benih Kelisa kerana modal permulaan serta operasi yang agak tinggi termasuk mengambil masa yang lama untuk membiak iaitu lima tahun. Bagaimanapun, melihat kepada pasaran semasa, aktiviti ini boleh dilaksanakan kerana mendatangkan pulangan lumayan.

No comments:

Post a Comment